15 lokasi menarik di Indonesia yang banyak dimuat naik di instagram oleh para traveler.
1. Taman Negara Rinjani
Dengan ketinggian 3,736 meter, Gunung Rinjani merupakan gunung
tertinggi di Indonesia. Lelah dan penat selepas melalui jalan yang
mencabar untuk ke puncak gunung ini pastinya hilang sebaik saja melihat
keindahan yang terbentang di depan mata. Sewaktu pendakian, anda boleh
berehat seketika dan menikmati pemandangan indah di Tasik Segara Anak
yang menyajikan kolam air panas. Setibanya di puncak, anda bakal
menyaksikan puncak tertinggi di Bali nun di seberang lautan – Gunung
Agung.
2. Bali
Sebut saja Bali pastinya ramai traveler yang tahu di mana lokasinya.
Terkenal sebagai salah satu dari destinasi popular di dunia, Bali telah
beberapa kali dianugerahkan sebagai pulau paling menarik untuk
dikunjungi oleh majalah The International Travel Magazine.
Meskipun terkenal, masih ramai yang tidak begitu tahu keunikan
sebenar pulau ini yang masih memelihara adat dan budaya setempat.
Kehidupan penduduk asal Bali sentiasa berkait rapat dengan Tri Hita
Kirana atau konsep tripartite – hubungan rapat antara tuhan, manusia dan
alam. Anda berpeluang melihat banyak pokok-pokok besar di Bali terutama
pokok Banyan yang ditanam di mana saja termasuk di kampung-kampung, di
lereng gunung, di kuil malah di pusat membeli belah juga.
3. Pulau Raja Ampat, New Guinea
Terdiri dari sekitar 1600 buah pulau tidak berpenghuni, kepulauan
Raja Ampat menawarkan pengalaman menyelam skuba antara yang menarik di
dunia. Hanya mulai terkenal di kalangan pelancong sejak beberapa tahun
ke belakang, kepulauan Raja Ampat pastinya menjadi lokasi idaman bagi
para penyelam skuba dan penggemar aktiviti snorkeling dengan berbagai
hidupan marin dan rangkaian terumbu karangnya yang unik.
4. Prambanan, Jogjakarta
Antara tarikan utama di Jogjakarta adalah Chandi Prambanan yang
dibina pada kurun ke 10 sewaktu pemerintahan 2 raja iaitu Rakai Pikatan
dan Rakai Balitung.
Chandi yang memiliki ketinggian 47 meter (5 meter lebih tinggi dari
Chandi Borobudur) menjadi simbol kegemilangan pemerintahan dan agama
Hindu yang pernah dianuti di Pulau Jawa ini pada satu ketika dahulu.
Terletak 17 km dari pusat bandar, chandi ini menjadi sebahagian dari
tarikan utama di sini.
5. Taman Negara Komodo, Nusa Tenggara
Komodo adalah sebuah pulau yang dihuni oleh sekitar 2000 penduduk.
Pada satu ketika dulu Komodo merupakan lokasi hukuman buang daerah ke
atas pesalah yang melakukan jenayah. Dengan keluasan 390km persegi dan
merupakan sebahagian dari Taman Negara Komodo, pulau ini terkenal dengan
binatang pra sejarah yang masih wujud di sini iaitu biawak Komodo.
6. Gunung Bromo, Jawa
Untuk ke Gunung Bromo anda perlu menempuh perjalanan sejauh 4 jam
melalui jalan darat dari Surabaya. Gunung Bromo merupakan sebahagian
dari Taman Negara Bromo Tengger Semeru yang merangkumi kawasan seluas
800 km persegi.
Dengan ketinggian 2392 meter, gunung Bromo bukanlah gunung tertinggi
di Indonesia tetapi ia tetap menjadi perhatian para travele kerana
pemandangan menarik yang disajikan dari puncaknya.
7. Air terjun Sipiso-piso, Medan
Terletak di utara pulau Sumatra, anda boleh melihat keindahan air
terjun Sipiso-piso di bahagian utara Tasik Toba, 24 km dari Kabanjahe.
Air terjun yang mengalir laju terjun ke lembah sedalam 120 menjadikan
Sipiso-piso lokasi tumpuan bagi fotografer. Dikelilingi tumbuhan
menghijau dan gunung ganang, serta pelangi yang menjelma di sekitar air
terjun menjadikan Sipiso-piso lokasi sempurna untuk fotografi yang
menarik.
8. Jayapura, Papua Timur
Jayapura yang terletak di Papua Timur menjadi lokasi tumpuan bagi
traveler yang ingin memulakan pengembaraan di Papua. Menawarkan berbagai
aktiviti menarik antaranya treking di Lembah Baliem, menyiapkan thesis
anda tentang hidupan liar di pusat pemeliharaan buaya, atau merakam
panorama indah dan budaya masyarakat setempat di sekitar Tasik Sentani.
Anda juga boleh meluangkan masa meninjau seluruh bandar ini dari atas
puncak bukit menara telekomunikasi tidak jauh dari bandar ini.
9. Danau Tiga Warna atau Danau Kelimutu, Pulau Flores
Kelimutu adalah gunung berapi berhampiran bandar kecil Moni di pusat
Pulau Flores di Indonesia. Gunung berapi ini mengandungi 3 tasik kawah
dengan 3 warna berbeza. Air di Tiwu Ata Mbupu (Danau Orang Tua) biasanya
berwarna biru dan merupakan paling barat dari 3 tasik.
2 tasik lagi adalah Tiwu Nuwa Muri Koo Fai dan Tiwu Ata Polo
dipisahkan oleh dinding kawah dan biasanya masing-masing berwarna hijau
dan merah. Warna tasik juga boleh berubah dengan sendiri dan bertukar ke
warna hijau dan hijau kehitaman.
10. Jembatan Cikubang, Bandung
Apa yang menarik dengan jambatan keretapi sepanjang 300 meter yang
menghubungkan Bandung dan Jakarta ini adalah pemandangan indah yang
dapat dilihat dengan jelas dari jalan raya antara Plered dan Padalarang.
Jambatan ini mula digunakan sejak tahun 1906 sewaktu zaman pemerintahan Belanda, dan masih berdiri kukuh sehingga ke hari ini.
11. Tasik Tempe, Makassar
Bandar Sengkang yang terletak mengadap tasik ini merupakan pusat
pemerintahan bagi kerajaan Bugis satu ketika dulu. Sehingga ke hari ini
adat, budaya dan kesenian Bugis masih terlihat jelas dan dipelihara
dengan baik antaranya – pakaian tradisi Bugis yang berwarna warni,
tenunan sutera secara tradisional serta adat perkahwinan dan tarian
Bugis.
Di Tasik Tempe juga anda berpeluang melihat dan merasai suasana
tinggal di rumah bot tradisional dan melihat beberapa spesies burung
liar yang terdapat di sini.
12. Telaga Warna Dieng, Semarang
Selain dari terdapat beberapa candi di sekitarnya yang dipelihara
dengan baik sejak sekian lama, Telaga Dieng turut menyajikan sebuah
tasik dengan warna airnya yang berubah-ubah dari hijau, kuning hingga
berwarna pelangi. Kandungan sukfur yang tinggi merupakan faktor utama
mengapa warna airnya berubah apabila terkena sinaran matahari.
13. Tana Toraja, Sulawesi
Terkenal dengan amalan suku kaum Toraja yang masih mengekalkan amalan
tradisi kuno seperti mengorbankan lembu dan khinzir sebagai pesta dan
upacara meraikan ahli keluarga yang meninggal. Cara mengebumikan mayat
di sini juga unik iaitu meninggalakn mayat di celah-celah batu dilereng
bukit.
Kunjungan anda ke sini pastinya menyediakan suatu pengalaman yang sangat berbeza berbanding lokasi lain di Indonesia.
14. Pantai Merah Jambu, Lombok
Pantai ini merupakan salah satu dari 7 pantai di dunia yang memiliki
pasir pantai berwarna pink. Warna pink pada pasirnya terbentuk hasil
campuran pasir putih dengan serpihan batu karang merah. Biasan sinar
matahari dan ombak laut menjadikan warna pink semakin jelas kelihatan di
pantai ini. Pantai ini juga sangat tenang dengan pukulan ombak yang
perlahan pasti membuat anda terleka sewaktu berada di sini.
15. Candi Borobudur, Yogyakarta
Candi yang kekal berdiri megah dan telah wujud lebih lama sebelum
Angkor Wat di Kemboja dan gereja-gereja lama di Eropah dibina ini telah
diwartakan sebagai Tapak Warisan Sejarah Dunia oleh Unesco.
Memiliki 2672 ukiran di dindingnya, jika ukiran ini disusun ia adalah
sepanjang 6 km. Diwartakan sebagai kompleks agama Budha terbesar di
dunia, Candi Borobudur menawarkan artistik dan senibina purba yang tak
ternilai.
Sumber : Says.com , Gambar : Google
Tiada ulasan:
Catat Ulasan