Ya, Islam berkembang melalui pengembaraan. Malah dengan mengembara juga, kita dapat menimba begitu banyak ilmu dan pengalaman. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: "Tuntutlah ilmu sampai ke negeri China, kerana sesungguhnya menuntut ilmu sangatlah wajib atas setiap orang muslim" (Riwayat Saidina Anas).
Rasulullah SAW sendiri menyuruh kita mengembara untuk mencari ilmu. Semakin jauh kita mengembara, semakin banyak ilmu dan pengalaman dapat dikutip. Seperti kata pepatah, jauh perjalanan luas pengalaman.
Bukan itu sahaja, sebelum berhijrah ke Madinah, Nabi Muhammad SAW pernah menyuruh sahabatnya mengembara dan meninjau keadaan di Habsyah dan beberapa tempat lain bagi mencari peluang untuk Islam bertapak dan berkembang di situ.
Sabda Rasulullah SAW lagi: "Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang yang puasa, doa orang yang dizalimi dan orang yang musafir” (Riwayat Ahmad, Bukhari, Abu Daud dan Tarmidzi). Lihat, betapa tingginya taraf orang yang bermusafir atau mengembara sehingga doanya antara yang paling mustajab.
Jika hendak bermusafir, baginda Rasulullah SAW selalu memulakan perjalanan pada hari Khamis dan di waktu malam. Melalui hadis diriwayat oleh Bukhari: “Rasulullah SAW berangkat ke Perang Tabuk pada Khamis". Dalam hadis diriwayatkan Abu Daud pula, Rasulullah SAW bersabda: “Berjalanlah pada waktu malam kerana bumi dijadikan lebih pendek pada waktu malam.”
Ibn Battuta |
Ibn Battutta yang berasal dari Maghribi memulakan langkah pertama dalam pengembaraannya ketika hendak menunaikan Haji di Mekah semasa berusia 24 tahun. Perjalanannya mengambil masa selama 16 bulan dan sejak daripada itu, beliau tidak menoleh ke belakang lagi dan meneruskan perjalanan menakluk dunia selepas mendapat gelaran haji.
Kisah-kisah yang disebutkan tadi adalah berdasarkan catatan-catatan sejarah. Namun apa pula kata Allah SWT tentang pengembaraan?
Allah telah berfirman: "Tidaklah mereka menjelajah di muka bumi, supaya mereka mempunyai hati yang dapat memikirkan atau telinga dapat digunakan untuk mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati dalam dada". (Surah Al-Hajj, ayat 46)
Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Islam menggalakkan umatnya mengembara atau melancong kerana dengan cara itu, kita boleh mengukuhkan iman dan takwa melalui siri pengalaman dan pengajaran yang kita temui di sepanjang perjalanan. Mata hati dan minda perlu dibuka untuk menilai, memahami dan mengambil pengajaran agar pengembaraan yang kita lalui menjadikan kita lebih dekat dengan Allah.
Bumi ciptaan Allah ini terlalu luas. Apa gunanya dijadikan bumi ini jika kita sebagai khalifahnya tidak meneroka dan menjelajah. Jika dilihat daripada sudut keimanan terhadap semua ciptaan-Nya yang sempurna dan indah, fikiran dan perasaan akan menjadi tenang. Orang beriman semakin bertambah imannya setiap kali melihat kejadian alam yang memperlihatkan kelainan.
Firman Allah yang bermaksud: "Kau tidak melihat sekali-kali pada ciptaan Tuhan yang Maha Pemurah, sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang?" (Surah Al-Mulk, ayat 3)
Melancong atau mengembara juga memberi kesempatan untuk kita melihat sendiri kehidupan masyarakat di tempat orang, lebih-lebih lagi di tempat yang kurang bernasib baik berbanding negara kita. Melihatkan kemunduran dan kemusnahan di tempat mereka membuatkan kita lebih bersyukur dengan apa yang kita telah nikmati di negara sendiri. Setiap yang terjadi, pasti ada hikmahnya.
Firman Allah yang bermaksud: “Pergilah berjalan (mengembara) di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana akibat orang yang mendustakan Allah.” (Surah al-Anam, ayat 11)
Allah berfirman lagi yang bermaksud: “Katakanlah: Jelajahilah muka bumi ini dan lihatlah bagaimana akibat (yang menimpa) orang yang berdosa.” (Surah an-Naml, ayat 69)
Mengembara bukan sekadar untuk berhibur dan berlibur. Dalam kita bersantai, jangan kita lupa untuk memanfaatkan segala yang kita peroleh semasa di dalam perjalanan untuk lebih mendekatkan diri dengan Allah. Panjatkan rasa syukur setiap kali diberi peluang melihat ciptaan-Nya, jangan pula dicemarkan pengembaraan itu dengan perkara-perkara maksiat yang akhirnya merugikan diri sendiri kerana dimurkai Allah.
Nilai-nilai Islam perlu dibawa dan dijaga ketika mengembara. Elakkan daripada terjebak dengan aktiviti tidak baik di tempat orang. Allah berfirman lagi: "Ditimpakan kehinaan di mana saja mereka berada, melainkan mereka yang menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia". (Surah Ali Imran, ayat 112)
Jadi teman-teman sekalian, ayuh kita mengembara. Islam sendiri menggalakkan umatnya keluar mengembara untuk melihat dunia. Jadi apa lagi alasan yang harus diberi? Kalau duit yang menjadi kekangan, kita mula dahulu dengan tempat-tempat berdekatan dengan kita. Ada rezeki lebih nanti, pergi ke tempat jauh pula. Ingat, perjalanan beribu batu bermula dengan langkah pertama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan