Destinasi pilihan bagi kembara backpacking terakhir Nota Kembara untuk tahun 2014 ialah New Zealand! Negara yang turut dikenali sebagai Aotearoa dalam
Bahasa Maori ini merupakan antara tanah terakhir yang diterokai
manusia. Kembara kali ini akan mengambil masa 10 bermula 6/12/2014
hingga 16/12/2014.
Kembara kali ini agak mencabar
memandangkan ia dirancang di saat-saat akhir iaitu lebih kurang hanya
sebulan. Tiket dibeli hanya seminggu sebelum peperiksaan bagi pengajian
master saya bermula baru-baru ini kira-kira pada awal November 2014.
Haha. Memandangkan dah tiada banyak masa lagi sebelum pulang ke
Malaysia, alang-alang berada di Sydney, rugi rasanya jika tidak
mengambil peluang untuk menjejaki salah satu negara yang tercantik di
dunia ini. Kalau dah pulang ke Malaysia nanti, entah bila lagi peluang
itu akan hadir.
New Zealand terbahagi kepada 2 bahagian
utama yang dikenali sebagai North Island (Te Ika-a-Māui) dan South
Island (Te Waipounamu). Dalam kembara kali ini, saya akan menjelajah ke
kedua-dua bahagian bermula dari Christchurch dan Queenstown di South
Island, Rotorua dan yang terakhir, Auckland yang terletak di North
Island.
Ibu negaranya ialah Wellington dan
bandar yang paling padat penduduk ialah Auckland. Dengan jumlah penduduk
seramai lebih kurang 4.5 juta, kadar kepadatan penduduknya adalah
antara yang terendah di dunia. Tahukah anda, jumlah penduduk Australia
ditambah jumlah penduduk New Zealand barulah hampir menyamai jumlah
penduduk Malaysia? Lebih menarik, jumlah kambing/biri-biri di New
Zealand jauh melebihi manusia iaitu 70 juta ekor.
New Zealand begitu terkenal dengan
keindahan alam semulajadinya. Keasliannya dijaga dengan baik dari
pembangunan yang memusnahkan. Inilah yang menarik minat Peter Jackson,
pengarah filem popular The Lord of The Rings untuk menjadikan New
Zealand sebagai lokasi utama penggambaran filem itu.
Sebagaimana tips-tips persediaan kembara ke Seoul, Melbourne dan Tasmania
sebelum ini, artikel ini sekadar berkongsi secara ringkas senarai semak
(checklist) persediaan untuk melancong ke New Zealand. Kali ini, saya
akan mengembara berdua dengan seorang sahabat dari Sydney. Walau
bagaimanapun, artikel ini akan cuba menjelaskan persediaan jika bertolak
dari Malaysia.
1. Tiket Penerbangan
Harga tiket penerbangan ke salah sebuah
pulau tercantik di dunia ini sebenarnya setara sahaja dengan harga tiket
penerbangan ke Eropah. Malah, kadang-kadang lebih mahal terutamanya
penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Auckland menggunakan Malaysia
Airlines. Alternatif yang lebih murah biasanya ialah untuk transit di
tempat-tempat seperti Sydney atau Melbourne di Australia dan Singapura
menggunakan operator penerbangan tambang murah seperti AirAsia
(KL-SIN/SYD/MELB) atau Jetstar (KL-SYD/MEL/SIN-AUC).
Dari Sydney atau Melbourne, boleh
terbang terus ke destinasi pilihan sama ada di Auckland (North Island)
atau Christchurch (South Island). Penerbangan terus dari Malaysia ke
Auckland mengambil masa 9 jam. Kalau takut terlalu penat dan
berkemampuan dari segi kewangan, gunakanlah operator penerbangan penuh
seperti MAS, Singapore Airlines, Qantas atau Air New Zealand. Saya
menempah tiket penerbangan dari Jetstar iaitu untuk perjalanan Sydney –
Christchurch, Queenstown – Auckland dan Auckland – Sydney.
2. Passport dan Visa.
Sila rujuk artikel Langkah-langkah Mudah Buat Passport Antarabangsa untuk
membuat passport sekiranya masih tidak mempunyai passport. Warganegara
Malaysia tidak memerlukan visa untuk mengembara ke New Zealand. Cukup
sekadar mempunyai tiket penerbangan ulang-alik. Walau bagaimanapun,
sekiranya transit di Australia, visa diperlukan dan permohonan boleh
dibuat secara atas talian.
3. Wang Tunai.
Tukar mata wang Ringgit Malaysia kepada
Kiwi Dollar (NZD) siap-siap sebelum berlepas. Jangan kalut-kalut tukar
wang di lapangan terbang. Kadar tukarannya terlalu mahal. Cari pengurup
wang berlesen yang murah-murah. Kalau di Kuala Lumpur, cadangan saya,
cari di sekitar Jalan Masjid India ataupun Mid Valley. Di Pulau Pinang,
boleh cari di sekitar Chowrasta.
Bandingkan dahulu kadar tukaran antara
agensi-agensi yang ada barulah pilih agensi mana yang menawarkan kadar
tukaran matawang yang paling kompetitif. Kebanyakan pengurup wang di New
Zealand tidak menerima Ringgit Malaysia dan kalau adapun, kadar
pertukarannya terlalu mahal ditambah dengan komisyen. Alternatif
termurah sekiranya kehabisan wang ketika melancong di New Zealand ialah
dengan mengaktifkan pengeluaran antarabangsa bagi kad ATM anda.
4. Pakaian.
Ketahui keadaan cuaca semasa di New
Zealand. New Zealand adalah negara 4 musim. Musim panas sekitar Disember
– Februari, musim luruh sekitar Mac – Mei, musim sejuk sekitar Jun –
Ogos dan musim bunga sekitar September – November. Suhu musim sejuk di
sekitar south island biasanya turun di bawah takat beku serta bersalji.
Di North Island pula jarang bersalji.
Sememangnya winter cloth, long john, dan glove diperlukan.
Stokin tu carilah yang tebal sikit. Kasut pun biarlah bersesuaian. Di
musim panas sebagaimana sekarang, suhu di South Island agak nyaman
sekitar 11-21 °C. Di North Island pula mungkin sedikit lebih tinggi
memandangkan ia semakin jauh dari Antartika.
5. Tentatif dan Penginapan.
Secara umumnya, kami merancang untuk
meluangkan masa selama 1 hari Christchurch dan seterusnya bergerak ke
Queenstown. Tinggal di Queenstown selama 5 hari memandangkan banyak
tempat serta aktiviti menarik di sana. Sememangnya Queenstown merupakan
antara destinasi pelancongan aktiviti luar terbaik di dunia. Seterusnya
terbang ke Auckland dan bermalam di sana sebelum bertolak ke Rotorua
pada pagi keesokannya. Bakal berkampung di Rotorua selama 2 hari sebelum
kembali ke Auckland untuk terbang pulang ke Sydney.
Perjalanan di sana pula kebanyakannya menggunakan perkhidmatan bas seperti NakedBus dan InterCity.
Kalau datang berkumpulan melebihi 4 orang, mungkin lebih berbaloi untuk
menyewa kereta atau motorhome. Penginapan pula ditempah melalui
booking.com. Aktiviti-aktiviti seperti Milford Sound Cruise serta
Hobbiton Movie Set Tour ditempah melalui NakedBus dengan kadar yang lebih murah daripada harga operator asal.
Anda juga boleh menempah tiket untuk aktiviti-aktiviti yang anda inginkan secara atas talian melalui laman sesawang seperti www.grabone.co.nz dan www.bookme.co.nz untuk
harga yang lebih murah. Tipsnya, seboleh-bolehnya tempah 2 bulan lebih
awal. Bagi NakedBus, anda berpeluang untuk mendapatkan harga hanya 1NZD
bagi tiket 1 hala serta 15NZD/malam untuk penginapan sekiranya ditempah
lebih awal. Murah kan?
6. Lain-lain
Seperti biasa, sabun, ubat gigi, syampu dan yang sama waktu dengannya. Extension andai perlu. Biasalah, gajet orang muda tak cukup satu. Jangan lupa pula bawa universal adapter ya. Suis New Zealand tak
sama dengan Malaysia. Bagi Kad Sim pula, saya merancang untuk membeli
sama ada Vodafone atau Skinny berdasarkan ulasan-ulasan yang baik di
forum-forum berkaitan.
Bagi yang ingin membawa makanan,
pastikan anda tahu apa yang tidak boleh dibawa ke New Zealand
terutamanya barangan berasaskan tenusu. Isytiharkan segala barangan
makanan serta ubat-ubatan yang dibawa. Kesalahan tidak mengisytiharkan
barangan larangan boleh didenda 400NZD! Senarai barangan larangan boleh
dirujuk di laman sesawang kastam New Zealand.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan