Masjid dan Makam Saad Bin Abi Waqas, Guangzhou, China
Assalamualaikum semua! DN akan sambung semula bercerita mengenai DN di
Guangzhou, China. Alhamdulillah, semasa DN di sana, DN telah dibawa
menziarahi makam Saad bin Abi Waqas ini. Secara jujurnya semasa DN
berada di Guangzhou, China, inilah perkara yang paling bermakna jika
dibandingkan dengan aktiviti yang dirancangkan oleh mereka sepanjang
kami berada di sini. Itu pun atas inisiatif salah seorang dari kami yang
menyertai trip ini. Nampak sangat aktiviti lain tak best kan. Hihi...
Gambar di atas adalah jalan menuju ke masjid dan makam sahabat
Rasulullah s.a.w ini. Jom ikut DN menuju ke masjid. Masjid tersebut
terletak jauh ke dalam dan perjalanan dari depan pintu gerbang ini
mengambil masa selama 2 minit. Dari jauh boleh dengar sayup-sayup
azan...
Inilah masjid yang DN maksudkan itu. Mengikut pembacaan DN, Saad bin Abi
Waqas telah menetap di Guangzhou dan ia mendirikan Masjid Huaisheng ini
yang menjadi salah satu tonggak sejarah Islam paling berharga di China.
Masjid ini menjadi masjid tertua yang ada di daratan Cina dan usianya
sudah melebihi 1300 tahun.
Masjid Huaisheng ini kemudian dijadikan Masjid Raya Guangzhou "Remember
the Sage", atau masjid untuk mengenang Nabi Muhammad s.a.w. Masjid ini
juga dikenal dengan nama Masjid Guangta, kerana masjid dengan menara
elok ini yang letaknya di Jalan Guangta. Ta berarti menara, kerana
menurut sejarahnya menara masjid ini adalah yang tertinggi pada awal
pembinaannya berbanding bangunan lain.
Syukur alhamdulillah DN berpeluang untuk solat Zuhur di masjid ini.
Selesai solat, kami menuju ke makam Saad bin Abi Waqas, sahabat
Rasullullah s.a.w yang dijamin masuk syurga.
Disinilah terletaknya makan tersebut, dikelilingi dengan kubur lain yang
merupakan rakan seperjuangan beliau. Sebahagian percaya bahawa Saad bin
Abi Waqas menghabiskan sisa hidupnya dan meninggal di Guangzhou, China.
Makamnya menjadi satu lagi tempat kunjungan pelawat dari seluruh
pelusuk dunia. Sampai di Guangzhou adalah tidak rasmi bagi kita orang
Islam kalau tidak menjejakkan kaki ke sini.
Namun sebahagian lagi menyatakan bahawa Saad bin Abi Waqas meninggal di
Baqi’ berhampiran Madinah dan dimakamkan di kawasan makam para sahabat.
Walaupun tidak diketahui secara pasti di mana Saad bin Abi Waqas
meninggal dan dimakamkan, namun yang pasti ia memiliki peranan penting
terhadap perkembangan Islam di China. Kalaupun kubur yang ada di China
itu bukan kubur Saad bin Abi Waqas; tetapi pastinya kubur tersebut
adalah kubur seorang berbangsa Arab yang memiliki jasa besar kepada
perkembangan Islam di China.
Tidak jauh dari makam tersebut, terdapat perigi Saad bin Abi Waqas.
Selesai solat dan menziarahi makam beliau, kami menghabiskan masa di
sini. Di kawasan perigi ini terdapat kawasan untuk duduk beristirehat
dan kami duduk di sini sambil minum air perigi tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan