Punca Usahawan Yang Bermasalah ( Bahagian 1)
1. INGKAR
Iaitu ingkar perintah Allah, ingkar nasihat pasangan, nasihat orang tua-tua, nasihat orang yang lebih berpengalaman. Ini merupakan masalah utama.
2. JAHIL
Jahil maksudnya tidak ada ilmu dalam selok-belok perniagaan,
tidak tahu teknik dan kaedah berniaga, tidak mahu belajar, tidak mahu
bertanya, tidak mahu berbincang dan tidak mahu mengikuti jejak langkah
orang yang telah berjaya dalam perniagaan.
3. BODOH SOMBONG
Orang yang bodoh sombong lebih teruk daripada orang jahil. Bukan
sahaja tidak mahu bertanya, malah apabila ditegur atau apabila orang
lain memberi pandangan, dia marah, kecil hati, ambil hati dan sombong.
Tidak mahu menerima pandangan orang lain walaupun pandangan itu sangat
baik dan bernas tetapi oleh sebab dia ada (kononnya) harga diri atau ego
dan sombong, dia enggan dengar.
4. TIDAK BERAMAL DENGAN ILMU
Ada orang yang sudah mendengar nasihat atau sudah ada ilmu tetapi masih
lagi tidak beramal dengan pengetahuan itu. Kalau beramal pun masih tidak
istiqamah.
5. MATLAMAT TIDAK MURNI
Ada orang melangkah masuk ke dunia perniagaan dengan hasrat yang tidak murni. Antaranya:
- Merancang untuk menipu.
- Membalas dendam kepada pesaing.
- Membelanjakan modal atau pelaburan yang diamanahkan.
- Mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain.
- Membolot kekayaan sendiri.
- Mendapat faedah dan manfaat diri sendiri.
- Menjadikan perniagaan hanya sebagi batu loncatan.
- Menyalahgunakan kemudahan dan geran daripada kerajaan.
- Menindas golongan lemah dan teraniaya.
6. MATLAMAT TIDAK JELAS
Ada pula orang yang memasuki dunia perniagaan dengan matlamat yang
samar-samar. Dia tidak jelas dengan skop perniagaan yang diperniagakan.
Kecintaannya bukan pada perniagaan. Orang begini selalunya:
- Berniaga kerana terpaksa
- Mewarisi perniagaan keluarga, bukan perniagaan sendiri.
- Membantu perniagaan suami atau isteri separuh hati.
- Pengurus yang dibayar gaji.
- Lemah minda dan tidak mampu mengikuti perkembangan perniagaan kontemporari.
- Tidak mampu membakar semangat diri sendiri.
Punca Usahawan Bermasalah (Bahagian 2)
7. KURANG ILMU
Antara ilmu yang perlu dilengkapi pada diri seseorang usahawan ialah:
- Ilmu tentang perniagaan.
- Ilmu tentang kemanusiaan (people skill).
- Ilmu tentang kehidupan (acquired knowledge).
- Ilmu tentang keakhiratan (revealed knowledge).
Ilmu perniagaan sendiri sentiasa berkembang dan berubah
mengikut iklim dunia perdagangan, telekomunikasi, teknologi, globalisasi
dan tamadun manusia. Bagi umat Islam, aktiviti perniagaan hanyalah
jambatan yang merentasi alam maya ini untuk menuju ke alam akhirat.
8. SILAP KAWAN
Ramai usahawan terjerumus ke alam kegagalan kerana kawan. Sepatutnya
kawan menyokong usaha kita jika tidak pun membantu. Tetapi jika sokong
pun tidak, malah menjatuhkan kita maka bolehlah dikatakan:
"Harapkan sokong, sokong membawa rebah."
Oleh sebab itu, menentukan lingkungan kawan (circle of friends) sangat mustahak. Kawan yang tidak membantu boleh membantutkan usaha anda.
9. JIWA RAPUH
Jiwa yang rapuh mudah patah semangat.
SEBAB JIWA RAPUH
- Penyakit kronik.
- Tekanan.
- Tiada sokongan ahli keluarga terdekat.
- Hilang keyakinan diri.
- Perniagaan merosot.
- Kehilangan orang yang disayangi.
10. NAK CEPAT KAYA
Berapa ramai orang usahawan yang mengeluarkan simpanan mereka, malah ada yang mengeluarkan wang KWSP untuk melabur dengan skim cepat kaya yang berselindung di sebalik pelbagai nama dan akhirnya kerugian besar.
11. ADA SIFAT IRI HATI
Sifat iri hati ialah sifat mazmumah yang merosakkan diri
sendiri. Iri hati boleh menyebabkan persaingan yang tidak sihat, berlaku
boikot memboikot, mengadu domba, black mail, berpuak-puak dan tidak
bersatu hati.
12. SIFAT MALAS
Malas ialah seperti sifat ular. Apabila dapat makanan, dia
akan tidur hingga perutnya lapar semula. Sifat malas berpunca daripada
malasnya minda berfikir dan bekerja keras.
13. KURANG BERUSAHA
Kurang usaha disebabkan oleh kurang gesaan, cabaran dan motivasi diri. Matlamat
kurang jelas juga menyebabkan kurang usaha. Orang yang berjaya sentiasa
meningkatkan usaha. Antara sebab orang yang kurang usaha ialah:
- Selesa dengan apa yang ada.
- Menganggap diri sudah berada di dalam zon selamat (comfort zone).
- Tidak ada tanggungan seperti isteri dan anak-anak.
- Putus harap.
- Faktor usia.
- Faktor kesihatan.
Punca Usahawan Yang Bermasalah (Bahagian Akhir)
14. MEMANDAI-MANDAI
Setiap sistem perniagaan mempunyai peraturannya sendiri. Perniagaan juga
mempunyai peraturan yang tersendiri. Kita tidak boleh memandai-mandai
membuat percubaan seperti yang dilakukan oleh ahli-ahli sains zaman
dahulu sebelum sesuatu ciptaan ditemui. Sekarang ini semua peraturan dan
metodologi bagi sesuatu sistem telah dicatat, dibukukan dan dijadikan
modul.
Orang yang terkemudian hanya perlu mengikut jejak-jejak yang telah
dirintis oleh orang yang telah mencipta kejayaan tersebut. Enggan
mengikut jejak langkah orang yang telah berjaya ini akan mengundang
padah. Jalan yang dilalui oleh orang yang telah berjaya telah
terbukti berkesan. Mereka telah mengetepikan langkah-langkah yang silap
melalui pengalaman.
Orang yang pandai belajar daripada
kesilapan sendiri manakala orang yang bijak belajar daripada kesilapan
dan pengalaman orang lain. Jadilah orang yang bijak.
15. TIDAK MENDENGAR PANDANGAN PELANGGAN
Dua cogan kata penting yang berkaitan dengan pelanggan ialah:
- Pelanggan ialah raja.
- Pelanggan selalunya betul (customer is always right).
Kekuataan peniaga dan usahawan bergantung
kepada pelanggan. Rungutan pelanggan hendaklah dikumpul dan diselesaikan
seawal mungkin. Pelanggan yang selesa dan berpuas hati akan mengulangi
permintaan.
16. TINDAKAN SUSULAN LEMAH
Sebelum close deal
Ada urusan perniagaan yang sulit dan memakan masa yang panjang untuk
close deal. Dalam hal ini tindakan susulan amat penting sehingga urus
niaga berjaya. Jika tindakan susulan lemah, urus niaga akan gagal.
Susulan selepas perkhimatan diberi
Tindakan after sales service merupakan penyambung urusan perniagaan
dengan peluang atau permintaan berikutnya. Purata kita dikhendaki
menghubungi pelanggan lama 4 atau 5 kali untuk mendapatkan peluang
perniagaan baru. Kalau tindakan susulan kita lemah, peluang untuk
mendapatkan perniagaan baru amat tipis.
17. PENAMPILAN DIRI KURANG KARISMATIK
Karisma ialah kualiti pada diri seseorang individu seperti
daya kepimpinan, daya penarik atau sifat-sifat tertentu yang
menjadikannya berupaya mempengaruhi atau menjadi perangsang kepada
khalayak ramai. Sebagai seorang usahawan, kita hendaklah menjual diri
kita sebelum kita menjual barangan.
18. GAGAL MENARIK HIDAYAH ALLAH S.W.T.
Hidayah Allah s.w.t adalah sesuatu yang di luar kawalan kita. Tugas
kita hanya meminta daripada-Nya. Terpulanglah kepada Allah s.w.t. untuk
memakbulkannya. Terpulanglah kepada Allah s.w.t. untuk memakbulkannya.
Jika kita gagal mendapat hidayah Allah s.w.t. bermakna ada kesalahan
yang kita lakukan menyebabkan Allah jauh dengan kita. Muhasabahlah diri
dan baiki diri. Insya-Allah pertolongan Allah akan datang dengan segera.
19. TIDAK BERDISIPLIN
Apabila kita bekerja sendiri, tiada sesiapa yang mengawal pengerakan
kita. Jadi kita harus memiliki disiplin diri yang tinggi untuk berjaya.
20. TIDAK MENGHORMATI PELANGGAN
Persaingan yang pesat dalam dunia perniagaan membuatkan pelanggan
mempunyai pilihan yang banyak untuk mendapatkan khidmat yang terbaik.
Sikap tidak menghormati pelanggan akan merugikan anda.
21. TIDAK MENGAMALKAN PETUA-PETUA MURAH REZEKI
Petua murah rezeki yang diambil daripada al-Quran, hadis dan pengalaman orang soleh seharusnya menjadi panduan kita di samping ilmu-ilmu kontemporari tentang perniagaan. Seperti doa, petua ibarat senjata sulit yang dapat membantu pada saat-saat kesusahan. Lebih-lebih lagi jika petua diamalkan ketika lapang, ia akan menjadi darah daging.(SUMBER: LANGKAH BIJAK USAHAWAN TERBILANG)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan