" kita selalu lupa jalan pulang, dari mana kita datang, dimana kita sekarang, kemana kita akan pergi, mengambil yang sementara meninggal yang kekal, hidup adalah persinggahan dalam menuju ke distinasi yang kekal abadi "

Khamis, 22 Oktober 2015

Kenapa Kerajaan Beriya-Iya Nak TPPA

Pada tahun 2008, kerajaan Malaysia telah menghentikan perundingan perjanjian FTA Amerika-Malaysia yang sudah berlangsung selama dua tahun, dengan 58 “isu tidak selesai”.

Bantah+TPPA

Antara penentang utama FTA ketika itu ialah Menteri Pertanian, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dilaporkan berkata bahawa beliau tidak akan berkompromi dalam isu kesejahteraan hidup petani tempatan.

Malah, beliau dilaporkan pernah mengatakan ‘langkah mayat saya dahulu.’ YB Khairy Jamaludin, yang ketika itu sehinggakan turun protes, berpendapat bahawa FTA akan mengancam kedaulatan Malaysia dengan perlindungan paten, lantas menghalang akses kepada industri perubatan generik.

Jadi mengapakah kerajaan beriya-iya kini untuk menyertai TPPA? Apakah yang telah berubah selepas lima tahun? Yang pasti, kandungan ala FTA yang bakal mengisi TPPA masih kekal sama.

Kenapa Trans-Pasifik?

Kita boleh membuat andaian bahawa TPPA dikenali sebagai Trans-Pasifik kerana faktor lokasi geografi kedudukan negara-negara yang terlibat dalam rundingan.

TPPA ialah unik kerana ia adalah perjanjian terbuka. Semua negara yang berminat boleh menyertainya selagi mana mereka bersetuju dengan apa yang telah dirundingkan pada waktu kemasukan itu, dan negara-negara lain bersetuju dengan penyertaan negara tersebut.

Negara-negara yang menyertai TPPA, kebanyakkannya sudah mempunyai perjanjian FTA dengan Amerika kecuali Jepun, New Zealand, Malaysia dan Brunei.

Jepun dan New Zealand merupakan negara maju yang mempunyai antara jaringan hubungan perdagangan yang terbesar di dunia, manakala Brunei ialah sebuah negara yang sangat kaya sumber, walaupun perdagangan yang kecil.

Hal ini menjadikan Malaysia, sebagai sebuah negara yang paling terancam dengan status sebagai negara membangun dan pihak baru dalam perjanjian TPPA dengan Amerika ini.

Bagi negara yang sudahpun mempunyai perjanjian dua-hala sedia ada FTA dengan Amerika, TPPA mungkin hanya melibatkan perubahan kecil kepada status perjanjian sedia ada. Tetapi untuk sebuah negara yang skala ekonominya kecil, TPPA bakal meninggalkan kesan yang lebih besar.

Rundingan pertama TPPA diadakan pada March 2010 melibatkan lapan buah negara, Malaysia menyertainya pada Disember 2010, di ikuti oleh Mexico dan Kanada pada Disember 2012. Baru-baru ini, Jepun menyertai rundingan pusingan di Kota Kinabalu.

Perjanjian FTA antara Amerika dan Singapura, Korea Selatan dan Chile boleh disandarkan sebagai panduan untuk kita melihat apa yang boleh diharapkan daripada TPPA.

FTA-FTA ini juga tidak banyak berbeza antara satu sama lain, dengan perbezaan kurang daripada 5% secara puratanya. Hal ini membawa kepada kita merumuskan bahawa Amerika melihat TPPA ini sebagai hanya satu daripada perjanjian-perjanjiannya yang menggunakan kerangka ‘standard’.

Mereka kelihatan tidak akan melayan “kerenah-kerenah” dan kehendak negara-negara yang lebih kecil ini (dikenali sebagai ‘pengecualian’) di meja rundingan.

Kandungan teks TPPA juga sulit dan rundingan dijalankan secara tertutup. Hanya lima bab yang ketirisan secara tidak sengaja kepada orang awam iaitu Pelaburan, Harta Intelek, Perdagangan dan Sekatan, dan Garis Panduan Kawal Selia.

MITI melaporkan hampir 14 bab daripada 29 bab yang dibincangkan sudahpun dipersetujui dan disimpulkan.

Tentang Pelaburan dan Kedaulatan

Isu ini boleh dikatakan isu terpenting, kerana berkait dengan hampir semua bab yang dibincangkan. Bab ini akan menyekat ruang pembuatan dasar oleh kerajaan melalui klausa ‘Investor-To-State Dispute Settlement (ISDS)’ dan ‘State-To-State Dispute Settlement’ (SSDS).

ISDS ialah peruntukan dibawah Bab Pelaburan, yang secara asasnya membenarkan mana-mana syarikat untuk mengheret kerajaan Malaysia ke mahkamah bagi tuntutan kerosakan dan ganti rugi. TPPA bakal memperkuat “keadilan korporat” merentasi semua negara atas alasan “kesaksamaan dan kesama rataan”.

Apakah kesaksamaan dan sama rata yang dimaksudkan di sini? Pendek kata, syarikat multinasional boleh selesa dengan kefahaman bahawa tiada perubahan ke atas undang-undang domestik yang akan melibatkan mereka secara buruk, sebaik sahaja mereka memulakan operasi di negara-negara rakan TPPA mereka.

Hakikatnya, hal ini menjadi tiket kepada syarikat gergasi multinasional untuk melangkah sistem undang-undang sebuah negara, melalui sebuah tribunal pengadilan antarabangsa yang dianggotai oleh tiga orang hakim; dua orang hakim antarabangsa dan seorang hakim tempatan.

Misalnya, jika Malaysia tiba-tiba mendapati bahawa terdapat kandungan kecil di dalam tembakau yang merbahaya dan membuat keputusan untuk mengharamkan kandungan tersebut, seterusnya menjejaskan keuntungan syarikat multinasional tembakau, syarikat itu mempunyai hak untuk menyaman kerajaan Malaysia berdasarkan potensi kerugian yang mereka alami sepanjang tempoh permit mereka beroperasi di Malaysia, beserta faedah.

Itulah yang terjadi dalam kes Philip Morris, apabila syarikat itu menyaman kerajaan Australia atas pembentukan undang-undang baru tentang pembungkusan rokok.

Perkara yang sama boleh terjadi ke atas Malaysia sekiranya negara kita hendak mengenakan undang-undang yang lebih ketat, ke atas pengusaha LYNAS, misalnya.

Malah, tidak melampau jika kita menjangkakan bahawa penggubal undang-undang dan Parlimen akan dibiarkan tidak berfungsi; mereka tidak boleh menggubal undang-undang yang memberi kesan kepada keuntungan syarikat multinasional dan kelansungan perniagaan!

Kita masih ingat bagaimana Mexico di saman AS16 juta dollar kerana tidak membenarkan pembuangan sisa toksik merbahaya ke dalam alam sekitarnya oleh syarikat Amerika.

Satu lagi hal yang diketahui umum ialah negara maju seperti Amerika dan Jepun sedang berusaha untuk melaksanakan ISDS melalui TPPA dan juga apa-apa yang dilihat sebagai kekurangan di bawah perjanjian Organisasi Perdagangan Dunia (WTO).

Walaupun kita hanya boleh mengandaikan klausa ini tidak diratifikasikan kerana potensi kesan negatif, kebimbangan yang wujud ini ada asasnya.

Tentang Perolehan Kerajaan dan Program Pembangunan Vendor Petronas

Dalam bahagian ini, semua perolehan kerajaan termasuklah berkaitan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Petronas tidak boleh dalam apa jua cara memihak kepada kontraktor tempatan dalam kaedah yang boleh disifatkan sebagai tidak adil kepada perusahaan asing lain daripada negara-negara rakan TPPA.

Ada paras lantai dalam peraturan ini; daripada perjanjian-perjanjian lepas FTA Amerika, kita boleh menganggarkan ianya sekitar RM23 juta dan ke atas.

Jelas hanya kontrak sampingan kepada kontraktor tempatan yang tinggal. Sementara itu, kita melihat saiz perolehan kerajaan Malaysia sebanyak RM130 bilion, atau 25% daripada KDN Malaysia.

Bukti empirikal menunjukkan bahawa 94% daripada perolehan kerajaan Amerika diperolehi oleh syarikat tempatan Amerika (Khor, 2008) dan hanya 6% diberikan kepada 170 syarikat di seluruh dunia.

Betapa terhadnya potensi yang diperolehi daripada sebuah usaha yang sepatutnya membuka peluang kita di Amerika! Apakah yang akan terjadi kepada kontraktor tempatan kita terutamanya kontraktor minyak dan gas?

Mampukah walau syarikat besar milik tempatan seperti Sapura Kencana dan MMHE sekalipun, bertahan menghadapi persaingan yang tidak bersimpati daripada negara maju? Apatah lagi nasib pemain-pemain industri kecil sederhana (SME).

Program Pembangunan Vendor Petronas yang telah banyak membantu membangunkan industry gas dan minyak tempatan juga nampaknya bakal tersingkir daripada persaingan ini.

Tentang SME dan Pertanian

TPPA bertujuan untuk membebaskan perdagangan dan mengurangkan tarif, yang mana boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan yang drastik dalam banyak sektor.

Kesan langsung ialah tekanan terus kepada gaji pekerja lantas meluaskan lagi jurang pendapatan yang sudah sedia besar sekarang.

Mexico ialah contoh terbaik; hasil daripada pemeteraian Perjanjian Perdagangan Besar Amerika Utara (NAFTA) dengan Kanada dan Amerika, tiga juta daripada sepuluh juta rakyat Mexico kehilangan pekerjaan.

Pengurangan tarif akan memberikan kesan langsung terutama kepada produk pertanian. Walau bagaimana mulia pun niat TPPA mempromosikan keberkesanan dan persaingan sihat, niat itu menjadi tidak adil apabila kita melihat hakikat bahawa lebih 90% syarikat Malaysia yang terlibat dalam sektor pertanian ialah syarikat kecil dan sederhana (SME).

Mereka akan menghadapi persaingan yang tidak seimbang daripada syarikat-syarikat gergasi pertanian daripada negara-negara seperti Amerika, Kanada dan Jepun, yang mana kerajaan tidak menurunkan pun subsidi yang besar kepada petani mereka.

Kajian oleh UNCTAD menunjukkan bahawa subsidi telah merendahkan kos pengeluaran beras Amerika sebanyak 45%, kacang soya 32% dan kapas sebanyak 52%.

Pengiraan kasar menunjukkan bahawa hasil beras mereka mampu memenuhi pasaran Malaysia serendah RM 1.40/ kg- apakah yang akan terjadi kepada BERNAS, dan nasib pengeluar tempatan yang lebih kecil?

Tentang Harta Intelek- Paten Perubatan dan Hak Cipta

Syarikat farmasi gergasi akan mendapat hak ke atas paten ubat-ubatan dan mengekalkan pegangan hak cipta lebih lama dengan cara yang lebih mudah.

Hal ini akan melewatkan pengeluaran ubat generik dan penggunaan ubat-ubatan penyakit kronik dan melewatkan akses kepada ubat-ubatan untuk penyakit seperti kanser, HIV dan penyakit kronik lain.

Sebagai contoh, Herceptin, yang digunakan untuk kanser pada masa kini memerlukan RM8,000 setiap rawatan dan memerlukan kepada 17 pusingan rawatan.

Purata kos untuk rawatan pesakit kanser paru-paru boleh mencecah RM 44,725 (Dollar AS14,455) setiap tahun untuk seorang pesakit.

Peluang untuk mendapatkan rawatan ubat-ubatan ini semakin berkurang, terutamanya bagi mereka yang tidak mampu kerana harga yang terlalu tinggi, apabila akses kepada ubat-ubatan generik akan dilewatkan melalui TPPA kerana negara maju akan menambah jangka hayat paten lebih daripada tempoh 20 tahun.

Bahagian Hak Cipta dalam TPPA akan mengakibatkan rawatan perubatan bertambah mahal untuk kebanyakan rakyat Malaysia, aktiviti penyelidikan dan pendidikan juga akan menerima musibah dan kosnya meningkat disebabkan oleh undang-undang hak cipta yang lebih ketat dicadangkan.

Ini termasuklah ‘digital commons’ atau harta umum digital seperti sumber maklumat daripada internet. Undang-undang hak cipta kini akan dipanjangkan hayatnya daripada 50 kepada 120 tahun.

Maksudnya, 70 tahun lagi akses kepada pelajar dan dunia akademik diterhadkan, kerana harga buku rujukan dan sumber maklumat yang begitu tinggi.

Tentang kawalan Tembakau dan Kesihatan Awam

Tembakau bukanlah produk biasa yang profil permintaannya seperti produk-produk biasa- sebagaimana mahal pun tetap akan ada pembelinya. Rokok membunuh sekurang-kurangnya 50% daripada penggunanya.

Malaysia dan juga negara-negara lain dalam TPP kecuali Amerika, ahli kepada ‘WHO Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) yang mensyaratkan supaya negara-negara ahli meregulasikan industri tembakau, mengurangkan penggunaannya dan menyekat insentif kepada industri tembakau.

FCTC merupakan perjanjian antarabangsa yang mengikat Malaysia sebagai ahli yang bermaksud untuk mewujudkan dasar kebangsaan yang bermatlamat mengurangkan penggunaan tembakau dan meregulasikan industri tembakau.

Banyak syarat dalam banyak bab-bab TPPA bertentangan dengan FCTC. Hal ini menimbulkan kebimbangan terutamanya mengenai potensi konflik di masa depan.

Isu ini menjadi lebih penting apabila kita menimbangkan kesan negatif kepada kesihatan awam dalam masyarakat yang tinggi penggunaan tembakaunya.

Tentang Kemampuan Kawalan Modal (Capital Control)

Salah satu kesan utama TPPA ialah pengehadan kemampuan kita untuk melaksanakan kawalan modal. Menurut Reinhart & Roghoff (2009), situasi pergerakan kapital antarabangsa yang tinggi selalunya menimbulkan krisis perbankan antarabangsa, seperti yang berlaku kepada Malaysia dan rantau sebelah sini pada tahun 1997, yang juga telah banyak kali berlaku dalam sejarah perbankan.

Apabila sistem kewangan diregulasikan dengan baik, kemungkinan untuk kitaran kegawatan kewangan dapat dikawal, atau sekurangnya melindungi situasi ekonomi daripada terdedah kepada kitaran kegawatan kewangan yang banyak kali kita saksikan kerana persekitaran ekonomi yang bebas tanpa kawalan.

Hal ini bukanlah bertujuan untuk menentang usaha meliberalisasikan ekonomi demi mweujudkan persekitaran ekonomi yang lebih berkesan, malah bukan juga untuk merosakkan peluang Malaysia untuk menarik pelaburan asing.

Tetapi, ia bertujuan untuk bertindak sebagai “shock absorber” atau penyerap hentakan akibat daripada krisis-krisis ekonomi yang cenderung kepada ekonomi-ekonomi yang lebih liberal.

Hal ini penting terutamanya untuk perniagaan-perniagaan dan perusahaan-perusahaan Malaysia yang masih lagi setahun jagung untuk menghadapi saingan asing.

Bukanlah satu kebobrokan pun untuk kita menyiapkan diri dengan satu sistem kawalan modal sementara seperti yang kita laksanakan ketika Krisis Kewangan Asia.

Malah IMF sendiri mengakui keberkesanan kawalan modal dalam mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia berbanding Indonesia dan Thailand.

Tentang Telekomunikasi

Bahagian telekomunikasi dalam FTA yang juga dibincangkan dalam TPPA merupakan antara bahagian yang wajar diberikan perhatian.

Rancangan telekomunikasi adalah untuk mempromosikan persaingan ke atas pembekal telekomunikasi dalam kalangan negara anggota TPPA.

Perusahaan telekomunikasi daripada negara-negara rakan TPPA akan diberikan akses kepada jaringan kemudahan telekomunikasi awam sedia ada melalui jaringan kemudahan dan akses kemudahan fizikal.

Dalam kes Malaysia, kita prihatin terhadap keupayaan TM Berhad yang selama ini telah membangunkan infrastruktur fizikal telekomunikasi di Malaysia dan menghubungkan negara dengan jaringan kabel fiber optik kelajuan tinggi melalui skim Perkongsian Awam-Swasta (PPP).

Apabila pesaing asing dibekalkan akses untuk menggunakan infrastruktur sedia ada, tentu sekali tekanan hebat ke atas prospek keutungan TM menyusul, malah mungkin mengheret syarikat gergasi telekomunikasi ke dalam krisis dan tutup kedai.

Masalah Cukai Ekport

Cukai ekport dikenakan kepada pengekport barangan utama. Cukai ini berfungsi melalui dua cara; menaikkan pendapatan kerajaan dan membangunkan industri perantara tempatan.

Cukai ekport menaikkan harga bahan mentah dalam pasaran ekport menyebabkan produk akhir yang dihasilkan oleh pasaran tempatan lebih murah dan kompetitif berbanding produk yang dihasilkan oleh pasaran luar. TPPA mahu mengubah perkara ini.

Dengan mengurangkan atau menghapuskan cukai ekport, negara seperti Malaysia yang sebahagian besar eksportnya masih barangan mentah, akan menyaksikan negara-negara rakan TPPA menikmati sumber-sumber kita dengan harga yang jauh lebih murah, seterusnya membunuh pengeluar industri perantara tempatan seperti pembekal kelengkapan teknologi dan perabot, industri penapisan kelapa sawit dan pengeluar produk tani dan makanan.

Tidak keterlaluan jika saya katakan potensi kesan ini hampir sama dengan tindakan penjajah mengambil segala sumber kekayaan asli kita satu ketika dahulu!

Mitos Perdagangan dan FDI

Kembali kepada isu perdagangan, jangkaan manfaat yang diperolehi daripada menandatangani FTA dengan Amerika akan terlihat melalui pendapatan yang tinggi dalam faedah perdagangan.

Bagaimana, sebuah negara yang secara relatifnya mempunyai kekuatan ekonomi yang lebih kuat seperti Singapura, menyaksikan peningkatan pula dalam deficit perdagangan bermula dengan USD1.4 bilion pada 2003 apabila mereka menandatangani perjanjian, kepada USD 4.3 bilion pada 2004, USD 6.9 bilion pada 2006 kepada USD 10.5 bilion pada 2012.

Menurut laporan United Nations, tiada bukti atau korelasi yang menunjukkan peningkatan pelaburan asing (FDI) yang berkualiti daripada perjanjian-perjanjian perdagangan dua-hala selama ini.

Benar, jika kita tidak menyertai TPPA, kemungkinan trade diversion atau perdagangan yang ‘lari’ daripada Malaysia kepada negara-negara TPPA tidak dapat dinafikan.

Namun kerugian daripada trade diversion ini haruslah jelas dan dipastikan mempunyai manfaat yang lebih besar berbanding pelbagai musibah dan kerugian yang dibawa oleh TPPA kepada aspek-aspek lain ekonomi negara.

Protes Dunia kepada FTA Amerika

Bukan asing Negara seluruh dunia memprotes perjanjian FTA dengan Amerika. Di Guatemala, dua orang mati berdemonstrasi, dan rakyat Guatemala mengheret kerajaan ke mahkamah kerana dakwaan FTA terbabit mencabuli hampir 130 akta dalam perlembagaan Guatemala.

Di Ecuador pula, darurat diisytiharkan kerana demonstrasi besar-besaran.

Ketua rundingan Thailand dan Colombia pernah meletakkan jawatan kerana protes hasil rundingan dengan Amerika.

Di Korea Selatan, seorang membakar dirinya sendiri sehingga mati bagi memprotes FTA dengan Amerika, yang hanya diluluskan oleh Parlimen selepas kerajaan pemerintah mengurung pihak pembangkang.

Negara seperti Argentina, Bolivia, Brazil, Paraguay, Uruguay, Venezuela, Afrika Selatan, Botswana, Lesotho, Namibia dan Swaziland juga sebelum ini terlibat dalam rundingan dengan Amerika untuk FTA tetapi kesemua rundingan itu gagal tanpa ditandatangani.

Di Malaysia, Third World Network (TWN) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bergerak di hadapan menentang isu FTA Amerika-Malaysia sejak 2008, dan melanjutkan penentangan terhadap TPPA.

Usaha lebih menonjol juga muncul kebelakangan ini untuk menyentuh isi rundingan TPPA melalui sebahagian bab yang tertiris kepada pengetahuan orang awam.

Pada 6 Jun 2013, Nurul Izzah mengeluarkan kenyataan akhbar mempersoalkan kerahsiaan rundingan TPPA dan bertanyakan soalan penting; adakah Malaysia merancang untuk menggadaikan kedaulatan negara hanya untuk tujuan perdagangan bebas?

Mewakili Pakatan Rakyat, beliau secara konsisten dan gigih telah memberikan tekanan yang membawa kepada penubuhan parliamentary caucus dan peningkatan penglibatan daripada MITI.

Pada masa yang sama, momentum penentangan terus dibina oleh badan bukan kerajaan seperti BLINDSPOT, MTEM, MAC, MTUC, GBM, IKRAM yang terus-menerus mengadakan forum awam untuk meningkatkan kesedaran awam.

Usaha ini menggalakan orang awam untuk menuntut hak bersama daripada kerajaan dalam rundingan. Profil ternama seperti Tun Mahathir dan Liow Tiong Lai juga secara terbuka memberikan penentangan kepada TPPA yang menuntut perhatian rakyat dalam isu ini.

Badan Bertindak Bantah TPPA (BANTAH TPPA)

Badan Bertindak Bantah TPPA, atau dikenali dengan nama ringkas BANTAH TPPA, ialah gabungan 52 badan bukan kerajaan dan 7 Jawatankuasa Bersama yang dibentuk untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap TPPA bagi memastikan Malaysia memperolehi manfaat terbaik daripada TPPA.

Kami berpendapat TPPA ini wujud di tengah-tengah harapan sebilangan kecil syarikat multinasional yang mencari keuntungan komersial hasil daripada bab-bab dalam rundingan, dan juga kebimbangan benar organisasi-organisasi masyarakat sivil yang mewakili rakyat 12 buah negara dalam TPPA.

Hakikatnya, TPPA bukanlah satu FTA yang mempromosikan perdagangan bebas semata-mata, kerana ia memelihara kepentingan syarikat gergasi dalam industri terpilih.

TPPA bertujuan memastikan perlindungan dan kepentingan korporat yang mengatasi kebajikan awam, keselamatan dan kepentingan sosio-ekonomi negara-negara yang ekonominya jelas lemah berbanding gergasi ekonomi dalam rundingan ini, yakni Amerika.

Perlu diingatkan bahawa Amerika dibantu oleh jawatankuasa penasihat khas terdiri daripada 1,000 orang pakar. Kami menuntut yang sama untuk Malaysia.

Satu kajian oleh UNDP tidak mencukupi untuk meyakinkan orang awam bahawa kehidupan kami dan anak cucu kami tidak terancam.

Melihat kepada rekod, Malaysia bukanlah pakar yang mahir dalam rundingan, kehilangan Blok L dan M, perjanjian berat sebelah air dengan Singapura, dan Pulau Batu Putih, sekadar menjadi contoh.

Pasukan perunding daripada MITI semata-mata tidak boleh dibiarkan menentukan nasih seluruh rakyat Malaysia.

Akhirnya, BANTAH TPPA menuntut supaya Kerajaan Malaysia menggantungkan rundingan atau keluar daripada TPPA sehinggalah sebuah kajian menyeluruh analisis kos dan faedah serta kajian perbandingan dilakukan, dihebahkan kepada umum dan dibincangkan oleh semua pihak di Malaysia, teks rundingan dibentangkan, dianalisis dan dinilai oleh parlimen untuk memastikan bahawa rundingan TPPA yang dijalankan memihak kepada kedudukan dan kepentingan Malaysia, dan kebimbangan mengenai pelbagai isu dimasukkan dalam pendirian dan dibincangkan dalam rundingan TPPA; serta akhirnya satu referendum popular dilakukan untuk menentukan sejauh mana rakyat Malaysia menyokong kerajaan mereka untuk menandatangani dan meratifikasikan TPPA.

Kami menuntut supaya kerajaan mengamalkan pendirian telus dalam hal ini dan semua kebimbangan pelbagai pihak berkepentingan dalam kalangan rakyat Malaysia dipertimbangkan dalam pusingan rundingan. Jika tidak, tarik diri daripada rundingan TPPA secara berhemah.

Garis panduan tentang faedah-faedah perjanjian FTA yang hanya teori-teori buku teks tidak mencukupi; TPPA mungkin kelihatan seperti perjanjian FTA di atas kertas, tetapi hakikat pelaksanaannya menunjukkan impak lebih besar kepada kedaulatan negara.

Perhatian dan empati diperlukan daripada masyarakat sivil, ahli akademik, pakar dan pengamal industri malah orang awam yang prihatin terhadap masa depan Malaysia mesti mencari maklumat, cuba memahami, bersuara dan menulis bagi menyumbang kepada usaha kita untuk menuntut yang terbaik daripada rundingan.

Jika tidak, lebih baik ucapkan selamat tinggal kepada Amerika dan cabut lari sebelum terlambat.
ok

Tiada ulasan:

Catat Ulasan