" kita selalu lupa jalan pulang, dari mana kita datang, dimana kita sekarang, kemana kita akan pergi, mengambil yang sementara meninggal yang kekal, hidup adalah persinggahan dalam menuju ke distinasi yang kekal abadi "

Jumaat, 23 Oktober 2015

Sabra Dan Shatila




(sempena memperingati peristiwa pembunuhan beramai-ramai penduduk Sabra dan Shatila. Kepada Syuhada Sabra dan Shatila, kami sedekahkan Al-Fatihah.)

Semua orang ingat pasal Peristiwa 11 September, dimana ‘kononnya’ USA telah diserang oleh Pengganas Islamis Al-Qaeda yang menyebabkan ribuan pekerja di Menara WTC mati. Sejak dari hari itu, umat Islam tidak kira dimana sekalipun dilabel sebagai pengganas dan USA mendapat lesen dari PBB untuk melancarkan ‘Perang Salib baru’ ataupun Perang menentang Keganasan (War against Terrorism). Hasilnya Afghanistan dan Iraq ranap berserta ribuan penduduknya yang tidak bersalah.

Namun, berapa pula yang ingat Peristiwa 16 September? (Maaf ye, ni bukan pasal Penubuhan Malaysia atau rancangan DSAI jd PM, isu ni kite borak lain kali). Pada tahun 1982, di sebuah kem pelarian di Beirut Lubnan, di sebuah kawasan bernama Sabra dan Shatila, hampir 3500 nyawa insan yang tidak berdosa, rata-ratanya ialah wanita, kanak-kanak dan orang tua menjadi mangsa sembelihan dan korban kepada segolongan Syaithan yang bertopengkan manusia
Antara korban Sabra dan Shatila

PENDAHULUAN

Selepas  Perang Kemerdekaan Israel 1948 dan Perang 6 Hari 1967, penduduk Palestin telah dihalau keluar oleh tentera Israel. Kebanyakan mereka telah dihalau dan dibuang ke negara Arab yang lain seperti Jordan, Lubnan, Syria, Mesir, Arab Saudi dan Iraq. Harapan Israel ialah orang Palestin akan diserap menjadi penduduk negara Arab yang menerima mereka. Namun hasrat mereka tidak menjadi kenyataan. Penubuhan PLO diketuai Yasser Arafat menunjukkan bahawa walau sejauh mana penduduk Palestin dibuang sekalipun, jiwa dan raga mereka masih lagi tertinggal di tanah air mereka. Palestin. Perjuangan PLO mendapat simpati negara Arab yang ditumpangi seperti Jordan, Syria dan Mesir dan mereka membuka ibupejabat di Amman, Jordan.

Namun, selepas tragedy Black September pejuang PLO telah dihalau keluar dari Amman, Jordan. Pejuang-pejuang PLO ini kemudiannya telah berkumpul semula di Selatan Lubnan dan berpengkalan di Beirut. Lubnan, sejak sekian lama bukanlah sebuah negara yang aman. Berpuluh-puluh tahun Lubnan menjadi medan pertempuran Perang Saudara antara rakyatnya yang berbilang puak dan agama seperti Kristian Maronite, Sunni dan Syiah. Setiap puak ini juga mempunyai parti dan organisasi separa-tentera mereka yang tersendiri yang kadangkala menjadi kawan seperjuangan dan dalam masa yang sama menjadi musuh dalam selimut. Ditambah lagi dengan pencerobohan Israel dan Syria, Lubnan sememangnya jarang merasai keamanan.

 

PLO menggunakan kawasan Selatan Lubnan sebagai tempat melancarkan serangan ke atas Israel. Israel menggunakan ancaman ini sebagai satu peluang untuk meluaskan kuasanya ke atas Lubnan. Maka Israel melancarkan Operasi Litani dan Operasi Peace for Galilea. Israel bersekutu dengan Puak Maronite Kristian yang dipimpin oleh Parti Kataeb yang mempunyai pasukan tenteranya iaitu Lebanese Forces (LF) dibawah Bachir Gemayel dan juga South Lebanon Army (SLA) dibawah Elie Hobeika. Parti Kataeb amat menentang kehadiran pelarian Palestin di Lubnan. Malah Bachir Gemayel pernah mengatakan bahawa dia ingin sekali meratakan kem pelarian palestin untuk membina gelanggang tenis. Puak Kataeb menggunakan kesempatan kehadiran Israel untuk menampan kehadiran tentera Syria yang mengawal Lubnan dan PLO.

Operation Peace for Galilea juga dikenali dengan Perang Israel-Lebanon, yang memakan masa hampir 18 tahun (1981-2000)
Melalui operasi tersebut, PLO terdesak berundur ke Beirut setelah menghadapi tentangan sengit. PLO kemudiannya mengadakan perjanjian dengan Israel melalui Multi national Force (MNF) yang disertai oleh USA, Perancis dan Itali. Menurut perjanjian tersebut pejuang PLO setuju untuk berundur keluar dari Beirut, Lubnan dengan syarat Israel  tidak memasuki Beirut. Manakala pelarian Palestin pula diletakkan dibawah penjagaan MNF sehingga 25 September. Perlucutan senjata orang awam secara besar-besaran dilakukan. Maka sebaik sahaja pejuang PLO berundur, yang tinggal di kem perlarian kebanyakannya hanyalah wanita, kanak-kanak dan orang tua sahaja tanpa senjata untuk perlindungan. Mereka percaya dibawah perlindungan MNF mereka akan selamat. Sebaliknya, tentera MNF meninggalkan Lubnan sebaik sahaja pejuang PLO berundur iaitu pada 13 September.

Bachir Gemayel dilantik menjadi Presiden Lubnan. Merupakan seroang yang pro-Israel, Bachir pernah menghantar 500 orang LF untuk menjalani latihan di Israel pada awal tahu 1982. Bachir memenangi jawatan presiden selepas tiada pencalonan lain. Israel amat mengharapkan Bachir menjadi presiden supaya rancangan Begin (PM Israel ketika itu) untuk menguasai Selatan Lubnan untuk keamanan Israel selama 40 tahun terlaksana. Namun begitu Bachir tidak setuju dengan rancangan tersebut. Bachir merancang menggunakan IDF untuk menghalau Syria dan kemudiannya menggunakan USA untuk menekan Israel keluar dari Selatan Lubnan.
Bachir Gemayel

Bachir Gemayel kemudiannya dibunuh pada 14 September apabila bangunan ibupejabat partinya dibom. Pembunuh, merupakan seorang nasionalis Syria yang menentang polisi Bachir yang pro-Israel. Namun ada khabar angina mengatakan bahawa pembunuhan tersebut dirancang oleh Israel dan orang-orang Hobeika kerana ketika pengeboman tersebut, Elie Hobeika yang bertanggungjawab ke atas keselamatan Bachir, tidak hadir. Walaubagaimanapun Ariel Sharon meletakkan kesalahan tersebut kepada orang Palestin. Adik Bachir, Amine berikrar untuk membalas dendam atas kematian abangnya.

TRAGEDI

IDF mendakwa terdapat 2000 pejuang PLO tidak berundur dan masih berada di kem pelarian Sabra dan Shatila. Dengan situasi kacau-bilau selepas pembunuhan Bachir, IDF kemudiannya mara ke Beirut pada 15 September atas alasan memburu saki-baki pejuang PLO dan mengawal keamanan Lubnan. Lewat petang, tentera Israel telah mengepung kem Sabra dan Shatila dan mengawal jalan keluar masuk kem dengan menggunakan kereta kebal.

Keesokan harinya, 16 September pihak IDF yang diketuai oleh Ariel Sharon dan beberapa pegawai tenteranya mengadakan mesyuarat bersama dengan ketua para-military puak Kataeb yang diketuai oleh Hobeika. Jet pejuang Israel melakukan penerbangan rendah diatas kem bagi melakukan tinjauan. Lewat petang, seramai kira-kira 150 orang pengganas Kataeb bersenjatakan kapak dan parang memasuki kawasan kem. Pada malamnya pula, tentera Israel telah melepaskan ‘flare’ ke udara untuk menerangi kawasan kem bagi memudahkan puak Kataeb dan Haddad menjalankan Operasi Kasach iaitu operasi ‘pembersihan’ kem Sabra dan Shatila dari ‘pejuang PLO’.

Sepanjang malam sehingga keesokan harinya 17 September kedengaran bunyi mesingan yang dilepaskan secara rambang kepada penduduk kem. Mereka juga mengugut untuk meletupkan rumah penduduk yang enggan menyerah diri. Apabila menyerah diri, penduduk kemudiannya diseksa sebelum badan mereka dikelar. Mayat-mayat penduduk kemudiannya dilonggokkan.  Kanak-kanak dan wanita yang berusia 12 sehingga 16 tahun dikumpulkan dan dibawa ke stadium untuk ‘disoal siasat’. Mereka kemudiannya ‘hilang’. Terdapat beberapa wartawan asing yang berjaya mencuri masuk ke kawasan kem.

Walaupun diarahkan IDF supaya keluar pada 5 pagi 18 September, pengganas Kataeb dan Haddad hanya keluar pada 8 pagi. Wartawan asing dibenarkan memasuki kem satu jam kemudian.

Tentera Israel tidak terlibat secara langsung terhadap tindakan ganas puak Kataeb terhadap penduduk kem walaupun kedudukan pos kawalan mereka dapat melihat dengan jelas terhadap apa yang berlaku. IDF memberikan bantuan komunikasi, makanan, gambar udara dan peta kem kepada pengganas Kataeb. Tentera Israel juga bertindak menghalang penduduk kem daripada keluar melepasi kawasan kem. Penduduk yang melarikan diri diarahkan untuk kembali ke kem mereka.

Terdapat keraguan terhadap siapa pengganas yang melakukan pembunuhan tersebut. Ada yang mendakwa kesemua pengganas tersebut merupakan askar Israel kerana terdapat insiden dimana saksi melihat mereka bercakap dan membaca surat khabar bertulisan Hebrew. Selain itu terdapat juga pengganas yang berkulit gelap seperti orang Afrika serta orang asing yang tidak berbahasa Arab ataupun Hebrew yang memungkin penglibatan tentera upahan. Ini memungkinkan niat Israel untuk menimbulkan kecurigaan antara Puak Kristian Maronite dengan orang Palestin. Ada juga saksi yang menyatakan dengan jelas penglibatan Puak Kataeb yang dipimpin oleh Hobeika dan Puak Haddad iaitu tentera upahan IDF dan Kataeb.

Walau siapapun yang melakukan pembunuhan kejam tersebut,  secara langsung ataupun tidak, sudah tiada sifat manusia didalam diri mereka lagi. Kebanyakan mangsa yang terbunuh adalah wanita dan kanak-kanak. Ada yang mati akibat tembak curi. Namun kebanyakannya mati dikelar dan terdapat tanda-tanda mereka diseksa dahulu sebelum dibunuh. Terdapat kesan-kesan ikatan wayar pada mangsa. Manakala bagi wanita kebanyakannya dirogol secara bergilir-gilir sebelum tubuh mereka dikelar. Ada juga yang matanya dikorek dan ada juga mayat yang dicincang serta patah riuk.

Suasana di Sabra dan Shatila selepas pembunuhan

Mayat-mayat dilonggokkan, dibiarkan mereput sebelum ditimbun dan dikambus dalam kubur besar. Kelihatan mayat seorang tua yang dikorek mata sebelum dibunuh

Semua ahli keluarga berbaris diluar rumah sebelum dibunuh. Mayat mereka kemudian dilonggokkan dengan jentolak.

Israel telah menubuhkan Suruhanjaya Kahan untuk menyiasat dakwaan penglibatan IDF dalam peristiwa tersebut. Hasilnya, mereka mendapati Israel tidak terlibat secara langsung terhadap pembunuhan tersebut sebaliknya dilakukan oleh Hobeika dan orang-orangnya. Namun, mereka mengakui IDF tidak mengambil tindakan sebaiknya untuk menghentikan perbuatan jenayah tersebut. Ariel Sharon dan beberapa pegawai tentera turut diminta untuk dipecat dari IDF dan dikutuk.

Ariel Sharon bersama George W Bush
Kerana Tragedi Sabra dan Shatila, Ariel Sharon mendapat gelaran “The butcher of Beirut”. Walaupun berundur dari jawatan Menteri Pertahanan Israel (Sharon tak mahu berundur pada awalnya dan Menachim Begin, PM Israel ketika itu juga tidak mahu memecat Sharon, namun meletak jawatan selepas satu percubaan bunuh), pada tahun 2001, Sharon akhirnya menjawat jawatan sebagai PM Israel yang ke-11. 



Sabra dan Shatila hanyalah satu pengulangan siri keganasan tentera Israel seperti Tragedi Deir Yassin 1948 – Sami Hadawi, pakar sejarah


Manakala Suruhanjaya Antarabangsa pula Berjaya membuktikan pembohongan dakwaan IDF mengenai kewujudan 2000 pejuang PLO di Sabra dan Shatila. Tanpa pejuang PLO dan senjata, penduduk kem tidak mampu mempertahankan diri mereka. Malah, saksi wartawan yang memasuki kem selepas peristiwa tersebut turut menjumpai senapang mainan yang diperbuat daripada plastisin ditemui di sisi mayat seorang budak lelaki, menunjukkan betapa penduduk kem tidak mampu melindungi diri mereka sendiri.

KESIMPULAN

Sekiranya USA dibenarkan dunia untuk menuntut bela diatas kematian rakyatnya, bukankah Sabra dan Shatila boleh melakukan perkara yang sama? Tidak. Mereka hanya mahu tanah airnya kembali. Itu sahaja. Mereka hanya mahu hidup aman, sambil menjaga ladang oren dan zaitun mereka , melihat anak-anak mereka membesar dan bersolat di Masjidil Aqsa tanpa ada halangan. Namun semuanya dirobek dan dirampas oleh Israel setelah mereka dibuang dan dihalau pada 1948 dan 1967.

Situasi di palestin dan Lubnan tidak mustahil untuk berlaku di Malaysia. Sekiranya para pemuda Palestin menghadapi tentangan dan peperangan secara fizikal oleh musuh mereka iaitu Zionis, para belia di Malaysia pula sedang berhadapan dengan serangan secara pemikiran dan ideology iaitu Hedonis (sifat cintakan dunia dan hiburan melampau). Di Palestin pemudanya terkorban dibaham peluru dan mortar memburu syahid, di Malaysia pula belianya maut di jalanan, sama ada sebagai mat gian ataupun mat rempit.

Kini, mayat mereka yang terkorban masih lagi disitu. Tertimbus jauh didalam runtuhan Sabra dan Shatila tanpa ada batu-batu nesan untuk memperingati mereka dan juga pengebumian yang sempurna. Kerajaan Lubnan juga bercadang untuk meratakan apa yang masih ada untuk memberi laluan kepada pembangunan.


RUJUKAN
Dari Beirut ke Jerusalem, Sebuah kisah benar oleh Dr Ang Swee Chai
Sabra Shatila terus merintih oleh Dr ZainurRashid penulis blog Peduli Ummah
Rakyat Palestin bersuara oleh Alijah Gordon
Maszlee Malik, kolumnis PalestinKini
Wikipedia
P/S: “Jauh di sudut hati, saya berdoa bersama-sama mereka. Dari Beirut ke Jerusalem, tahun hadapan kita jumpa di Palestin”- Dr Ang Swee Chai. Doktor sukarelawan dan saksi Tragedi Sabra dan Shatila.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan